Beliau berkata sesi tersebut akan digunakan untuk memberi penjelasan mengenai apa yang akan dilakukan kerajaan baharu khasnya dalam menentang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

“Insya-Allah esok saya akan menemui kesemua KSU kementerian dan menerangkan kepada mereka apa hasrat kita dan apa yang akan kita lakukan khasnya berkaitan rasuah,” katanya dalam sesi penerangan khas kepada RTM dan Bernama di kediaman beliau di Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai apa yang akan berlaku kepada 1.6 juta penjawat awam memandangkan, dalam laporan sebelum ini, akan wujud penggabungan kementerian dalam kabinet baharu yang bakal dibentuk kerajaan PH.

Semalam Dr Mahathir menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.