Pembiayaan Mikro dan Tabung Perusahaan Mikro

PEMBIAYAAN MIKRO

Apakah Pembiayaan Mikro?
Pembiayaan mikro ialah pembiayaan untuk perniagaan kecil-kecilan dan jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah antara RM1,000 hingga RM50,000 untuk usahawan mikro. Pembiayaan mikro ini diberikan untuk tujuan perniagaan sahaja seperti membiayai modal pusingan dan pembelian aset tetap. Pembiayaan ini bukan pembiayaan peribadi.

Apakah definisi perusahaan mikro?
Definisi perusahaan mikro yang diluluskan oleh Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan adalah perniagaan yang mempunyai:
• Nilai jualan tahunan kurang daripada RM300,000; ATAU
• Bilangan pekerja sepenuh masa kurang daripada 5 orang

Siapakah yang layak mendapat pembiayaan mikro?
• Semua perusahaan mikro yang mempunyai perniagaan yang berdaya maju.
• Pembiayaan mikro ditawarkan kepada perniagaan dalam semua sektor ekonomi. Namun, beberapa institusi kewangan menghadkan pembiayaan kepada beberapa sektor tertentu sahaja.

Institusi kewangan manakah yang menawarkan pembiayaan mikro?
• 3 institusi kewangan pembangunan iaitu Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional.
• 7 institusi perbankan iaitu Alliance Bank, AmBank, CIMB Bank, Public Bank, Maybank, United Overseas Bank dan Bank Muamalat.

Di manakah boleh saya mendapatkan pembiayaan mikro?
• Pembiayaan mikro boleh didapati di cawangan-cawangan serta wakil/ejen institusi kewangan peserta skim ini yang mempamerkan Logo Pembiayaan Mikro Kebangsaan. Setiap permohonan pinjaman adalah tertakluk kepada proses penilaian setiap institusi kewangan peserta skim ini.
• Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tempat untuk memohon skim ini, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi institusi kewangan peserta skim pembiayaan mikro ini. Sila rujuk Jadual Perbandingan Ciri-Ciri Produk Pembiayaan Mikro untuk mengetahui nombor talian untuk menghubungi setiap institusi kewangan tersebut.

Bagaimanakah rupa Logo Pembiayaan Mikro Kebangsaan?

Apakah ciri-ciri utama produk pembiayaan mikro?
Saiz pinjaman : Antara RM1,000 hingga RM50,000
• Tujuan pinjaman : Untuk membiayai perniagaan seperti modal pusingan atau pembelian aset tetap.
• Tempoh pinjaman : Antara 1 bulan hingga 7 tahun
• Keperluan cagaran : Tiada
• Permohonan pinjaman : Borang permohonan yang mudah
• Keperluan dokumentasi: Dokumen yang minimum seperti:
– Kad pengenalan
– Bukti perniagaan (seperti pendaftaran perniagaan/lesen/permit)
– Bukti pendapatan (seperti penyata bank)
– Bil-bil utiliti (seperti elektrik, air, telefon)

Sila rujuk Jadual Perbandingan Ciri-Ciri Produk Pembiayaan Mikro untuk mengetahui dengan terperinci kriteria kelayakan setiap institusi kewangan peserta skim ini.

Adakah saya memerlukan seorang penjamin?
• Kebanyakan institusi pembiayaan tidak memerlukan penjamin untuk skim ini.
• Hanya institusi kewangan tertentu yang menyertai skim ini memerlukan penjamin bagi pinjaman yang melebihi sesuatu had.

Apakah kadar faedah yang dikenakan bagi pinjaman skim pembiayaan mikro ini?
• Kadar faedah komersial ditentukan oleh institusi kewangan peserta skim ini sendiri dan bergantung pada penilaian profil risiko setiap peminjam.
• Institusi kewangan peserta skim ini boleh memberikan maklumat yang lebih terperinci mengenai kadar faedah dan ciri-ciri bagi produk pembiayaan mikro yang ditawarkan.

Berapa lamakah permohonan pinjaman saya akan diluluskan?
• Tempoh yang diperlukan bagi meluluskan sesuatu pinjaman adalah antara 1 hingga 10 hari bekerja, setelah maklumat lengkap diperoleh daripada pemohon.
• Sila rujuk Jadual Perbandingan Ciri-Ciri Produk Pembiayaan Mikro untuk mengetahui tempoh kelulusan pinjaman setiap institusi kewangan peserta skim ini.

Adakah terdapat keutamaan khas bagi pinjaman mikro selain daripada kriteria pinjaman asas seperti yang dinyatakan di atas?
• Tiada. Semua usahawan mikro yang berdaya maju layak untuk mendapat pembiayaan mikro, dan kelulusan permohonan bergantung sepenuhnya pada penilaian kewangan (creditworthiness) setiap pemohon.

Siapakah yang perlu saya hubungi jika saya menghadapi kesukaran untuk mendapat pembiayaan mikro atau sebarang isu yang berkaitan?
• Jika anda menghadapi kesukaran mendapat pembiayaan mikro di cawangan-cawangan atau wakil/ejen institusi kewangan peserta skim ini, anda boleh menghubungi talian penting institusi kewangan untuk mendapatkan bantuan.
• Sila rujuk Jadual Perbandingan Ciri-Ciri Produk Pembiayaan Mikro untuk mengetahui talian penting pembiayaan mikro setiap institusi kewangan peserta skim ini.

TABUNG PERUSAHAAN MIKRO (TPM)

Apakah tujuan penubuhan TPM?
• Tabung Perusahaan Mikro ditubuhkan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan buat perusahaan mikro yang berdaya maju, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini.
• Tabung ini dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia dan ditawarkan sejak 5 November 2008. Sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia bagi tujuan ini.

Siapakah yang layak memohon TPM?
• Setiap usahawan mikro yang layak memohon Pembiayaan Mikro adalah layak untuk memohon TPM. Sila rujuk jawapan bagi Soalan 3 di atas.

Di manakah perusahaan mikro boleh memohon TPM?
• Perusahaan mikro boleh memohon TPM di institusi kewangan peserta skim pembiayaan mikro. Sila rujuk jawapan bagi Soalan 4 di atas untuk senarai institusi kewangan peserta skim ini.

Siapakah yang boleh mendapatkan pembiayaan daripada TPM?
• Usahawan mikro yang dinilai sebagai berdaya maju oleh institusi kewangan peserta skim ini boleh mendapat pembiayaan.

Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri-ciri produk pembiayaan mikro yang ditawarkan oleh setiap institusi kewangan peserta skim ini?
• Ciri-ciri produk pembiayaan mikro yang ditawarkan oleh setiap institusi kewangan peserta skim ini terkandung di dalam Jadual Perbandingan Ciri-Ciri Produk Pembiayaan Mikro. Jadual ini boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.com.my), laman web BankingInfo (www.bankinginfo.com.my) dan laman web portal SMEinfo (www.smeinfo.com.my). Jadual ini akan dikemaskinikan sekiranya terdapat sebarang perubahan terhadap ciri-ciri produk institusi kewangan peserta skim ini.

Apakah yang perlu saya lakukan jika permohonan pinjaman saya ditolak?
• Anda boleh membuat permohonan di institusi kewangan peserta skim ini. Setiap institusi kewangan peserta skim ini mempunyai kriteria kelayakan yang berbeza-beza.

BNMLINK (Laman Informasi Nasihat dan Khidmat)
Tingkat Bawah, Blok D, Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn, 50480 Kuala Lumpur
(Masa urusan : Isnin - Jumaat, 9.00 pagi – 5.00 petang)

BNMTELELINK (Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Melalui Telefon)
Tel: 1-300-88-5465 (LINK)
Faks: 03-2174 1515
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

Adakah pembiayaan semula dibenarkan di bawah TPM?
• Tidak. Tabung ini tidak boleh digunakan untuk pembiayaan semula pinjaman yang sedia ada.

Bolehkah saya dapatkan pinjaman daripada institusi kewangan lain bagi pembiayaan melebihi RM50,000?
• Boleh. Walaupun anda masih mempunyai baki pinjaman sebanyak RM50,000, anda masih boleh memohon pembiayaan mikro baharu daripada institusi kewangan lain yang menyertai skim pembiayaan mikro ini. Walau bagaimanapun, penilaian kredit adalah berdasarkan keupayaan anda membayar balik dan jumlah baki pinjaman anda dengan semua institusi kewangan.


Bank Negara Malaysia Tarikh dikemaskini: 20 Mac 2014