Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, pakatan pembangkang itu sebaliknya akan mengambil langkah untuk ‘memekakkan telinga’ apabila jawapan yang jelas dan tuntas diberikan oleh kerajaan.

“Walau macam mana kita bagi jawapan, mereka tidak berminat untuk dengar dan terus memainkan sentimen mengatakan kerajaan pencuri dan sebagainya kerana mereka tahu emosi rakyat mudah tersentuh dengan perkara ini.

“Mereka kononnya mahu menyelesaikan isu tersebut menggunakan slogan ‘untuk rakyat’ tetapi sebaliknya mereka bukan mahu memperjuangkan nasib rakyat tetapi hanya ingin mewujudkan kebencian dalam hati rakyat,” katanya dalam sesi Sembang Online di laman Facebook Utusan Online malam ini.

Tambah Lian Ker, Pakatan Harapan yang kononnya memperjuangkan demokrasi merupakan pakatan yang mempunyai parti komponen yang paling tidak demokrasi di Malaysia.

“Dalam BN, pendekatan kita lebih tersusun, lebih halus, mengikut disiplin-disiplin yang sepatutnya dan kita mengikut demokrasi sepenuhnya.

“Tetapi cuba lihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Umum tanpa dipilih, Lim Kit Siang menjadi Ketua DAP tanpa dipilih, dan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga jadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melalui ‘pintu belakang’. Inikah parti yang memperjuangkan demokrasi?” katanya. – UTUSAN ONLINE