20 Nov 2018

MITI PERLU MAIN PERANAN BANTU USAHAWAN

0 Comment

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) diharap dapat membantu lebih ramai usahawan bagi meningkat dan mengembangkan produk golongan terbabit di luar negara.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia Global (MGCC), Profesor Dato’ Sri Dr Alex Ong berkata, penerangan serta kesedaran dapat dilakukan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di bawah Miti dan juga badan-badan bukan kerajaan lain termasuk MGCC bagi membantu mempromosikan produk mereka.

Menurutnya, disebabkan itu juga MGCC akan menganjurkan Majlis Penganugerahan Penghargaan Keusahawanan Asean atau Asean In Award kepada para usahawan pada 5 januari 2019 nanti.

“Ini (penganugerahan) adalah salah satu susulan daripada aktiviti tahunan yang dianjurkan MGCC untuk memberi penghargaan kepada usahawan yang layak dalam pelbagai kategori seperti korporat, individu dan juga industri kecil dan sederhana.

“Hari ini, MGCC telah berjumpa dengan seramai 25 usahawan pelbagai sektor untuk kami memberi pendedahan kepada mereka berhubung perkara ini selain bertukar pendapat mengenai perniagaan masing-masing,” katanya dalam satu pertemuan dengan para usahawan, di Wisma MGCC.

Alex berkata, para usahawan khususnya generasi muda patut diberi pendedahan dan ilmu untuk mereka mengembangkan perniagaan, tidak kira yang baharu atau yang sudah ada perniagaan, asalkan mereka ada keinginan untuk melebarluaskan lagi perniagaan mereka.

Melalui cara ini juga, ia satu platform dalam membantu negara meningkatkan lagi bidang ekonomi sekaligus melonjakkan pendapatan negara.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau sempat menitikkan beberapa perkara penting yang perlu dilakukan para usahawan seperti memanfaatkan bank-bank dan juga credit guarentee corporation berhad (CGC) yang dapat memberi pinjaman kepada usahawan untuk berniaga dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Dalam masa sama Alex turut menggalakkan usahawan menceburi bidang-bidang yang mereka tahu dan kembangkan di negara-negara sahabat seperti Singapura, Vietnam, Thailand, Cambodia, Laos dan juga Indonesia serta negara asia lain, India dan China.

“Kita harus berdaya saing dan berjuang untuk mengembangkan perniagaan berpaksi kepada 4P, iaitu yang pertama apabila kita mempunyai Produk, kita harus mencari Premis dan menetapkan harga (Price), seterusnya lakukan Promosi, itulah konsep 4P yang saya gariskan supaya usahawan kita dapat berkongsi bersama dalam melonjakkan hasil daripada ciptaan serta branding yang mereka lakukan selama ini,” katanya.

[top]