10 Nov 2018

MGCC INTAI PELABURAN AEROANGKASA DENGAN BEIJING

0 Comment

Dewan Perniagaan Global Malaysia (MGCC) membuat kunjungan ke Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di kedutaan Malaysia di Beijing, China.

Dalam kunjungan tersebut pertemuan telah dibuat dengan pegawai MIDA yang juga Menteri Bahagian Pelaburan, Mohd Zukepli Embong.

Presiden MGCC, Profesor Dato’ Sri Dr Alex Ong berkata, hasil kunjungan itu, Zukepli menyatakan beberapa peluang pelaburan yang ada di Malaysia kepada barisan bakal calon yang akan melabur di Malaysia dalam beberapa bidang pusat sains.

“Saya kira bidang ini sangat penting kerana ia merupakan salah satu tunjang kepada Malaysia untuk memastikan negara kita tidak ketinggalan dan sentiasa ke depan.

“Selain itu, perkara ini juga perlu diperkasakan kerajaan untuk pastikan kualiti serta kemajuan negara dapat bersaing dengan negara-negara maju seperti China,” katanya.

Turut hadir sama, Pengarah Urusan Shenfei Aerospace International (M) Sdn Bhd, Datuk Steven Tiong dan juga beberapa rombongan dari pengusaha dan badan organisasi aeroangkasa di Beijing.

Pada masa sama, Alex juga bersetuju menjadi jambatan kepada pihak China yang ingin membuat pameran serta memberi pengetahuan dan menyebarluaskan lagi maklumat mengenai aeroangkasa yang boleh memberi satu ilmu kepada mahasiwa serta rakyat Malaysia yang mempunyai minat dalam bidang berkenaan.

Tambahnya, bidang ini telah diperkasakan sejak dahulu lagi cuma perlu penambahbaikan dari segi ilmu terkini untuk memastikan negara tidak ketinggalan dan sentiasa bersaing dengan negara maju dan dalam masa sama, ia memberi satu kredit kemajuan kepada negara yang boleh meningkatkan jurang ekonomi dan hubungan di antara Malaysia dan negara-negara sahabat lain yang mempunyai teknologi seperti itu.

“Buat masa ini syarikat aeroangkasa negara China ini mempunyai anak syarikat untuk bekerjasama dengan syarikat yang ada di Malaysia iaitu sebuah syarikat di Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur, Shenfei Aerospace International (M) Sdn Bhd yang diuruskan Datuk Steven Tiong.

“Saya rasa ini satu peluang kepada kita untuk meningkatkan lagi ekonomi melalui peluang dan kerjasama yang ada di antara China dan Malaysia.

“Kami di MGCC sentiasa menyokong saranan kerajaan serta dasar-dasar yang telah ditetapkan bagi merealisasikan sebuah negara dan ekonomi negara untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan China dalam hubungan ekonomi dan juga diplomatik,” katanya.

Dijangka pelaburan yang mungkin berjaya masuk bernilai RM100 juta dari pihak aeroangkasa ini untuk membina pusat sains termasuk yang bertaraf antarabangsa yang bakal dibina di beberapa negeri yang akan dikenalpasti oleh organisasi mereka.

Difahamkan pihak mereka akan berkunjung ke Malaysia untuk berbincang lanjut mengenai pelaburan di dalam teknologi yang dimaksudkan itu.

Ini juga adalah antara beberapa aktiviti MGCC yg mempromosikan Malaysia untuk menarik pelabur asing datang ke Malaysia sejajar dengan hasrat kerajaan yang ada sekarang.

“Kami percaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat sesuatu yang baik bagi meyakinkan pelabur di luar negeri untuk membuat pelaburan dan kita juga yakin dengan pimpinan Tun dan kabinet yang ada, kestabilan ekonomi serta politik akan lebih baik dan pelabur dari luar akan lebih yakin untuk datang melabur di dalam beberapa bidang khususnya bidang berteknologi tinggi yang menjadi satu dasar baru kepada kerajaan Pakatan Harapan,” jelasnya.

Ia juga mampu meningkatkan daya saing serta kemajuan negara bagi memastikan Malaysia tidak terpinggir dalam era memajukan negara untuk persaingan di dalam kemajuan teknologi moden.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sains, Beijing Shenfei Aerospace Application Technology Research Institute, Mao Hongwei berkata, banyak kerjasama boleh dilakukan antara dua pihak dalam bidang pertanian melibatkan teknologi hibrid benih-benih tumbuhan seperti kacang panjang, sayur-sayuran, buah-buahan yang dapat ditanam di Malaysia dan hasil tuaiannya juga adalah singkat.

Alex juga akan mengatur pertemuan pelabur China ini dengan kementerian dan kerajaan negeri yang berkaitan bagi tujuan silaturahim dan juga menghasilkan suatu kejayaan baru kepada Malaysia dalam teknologi hibrid yang di usahakan oleh kumpulan aeroangkasa ini.

[top]