Perkara asas iaitu peralihan kuasa yang pertama kali dalam sejarah negara berjalan lancar. Politik budiman sebegini perlu dihargai.

Tahniah PH. Tahniah Barisan Nasional (BN). Kematangan kedua-dua belah pihak memungkinkan peralihan kuasa ini tidak dicemari dengan aksi-aksi anarkis walaupun ada provokasi dan andaian-andaian liar.

Rakyat mengharapkan Malaysia terus aman dan tenteram. Dalam keghairahan penyokong parti mahu meluahkan perasaan masing-masing, para elit politik seharusnya menahan diri untuk turut tidak membuat provokasi.

Mereka malah seharusnya menunjukkan tauladan. Sesiapa pun yang terpilih secara demokrasi harus diterima sehingga tiba waktunya pilihan raya akan datang.

Rakyat pun jangan mudah terpancing dengan provokasi. Dalam era ketika siapa pun boleh menyampaikan apa sahaja maklumat melalui media sosial, orang awam mesti bijak memilih maklumat. Mana yang benar, mana yang palsu. Mana yang berupa pendidikan politik, mana yang provokasi.

Inilah yang mesti dijaga dalam waktu-waktu genting ini. Waktu peralihan sebegini menjadi penanda penting untuk negara memasuki ruang demokrasi yang lebih bebas dan terbuka.

Kini apa yang rakyat tunggu-tunggu ialah janji 100 hari bermula Rabu, 9 Mei lalu. Maknanya pada atau sebelum 16 Ogos nanti rakyat sudah dapat merasai hasilnya.

Tiada waktu untuk meraikan kejayaan PH ini. Tidak ada, selain kesungguhan un- tuk memastikan janji-janji itu tertunai.

Atas kertas janji 100 hari PH terutama ber­kaitan mengurangkan be­ban rak­yat akibat kos sara hidup tinggi –peman­suhan GST, menstabilkan harga minyak dan gaji minimum – memerlukan sentuhan luar biasa un­tuk melaksanakannya.

Sudah alang-kepalang rakyat mempunyai jang­kaan tinggi terhadap ke­upayaan pentadbiran ba­­­haru kerajaan yang diketuai Perdana Men­teri, Tun Dr. Mahathir Mo­­hamad ini. Beliau yang dikenal dengan pres­­tasi mengagumkan di dalam dan luar kera­jaan kini diharap dapat melakukan perkara di luar jangka itu.

Memikul beban

Dalam keadaan ha­rapan menggunung ini, politiking dan drama juga sepatutnya sudah ber­akhir. Ini masa be­kerja. Rakyat yang telah memuktamadkan pilihan dengan menumbangkan kekuasaan 60 tahun BN sedang memerhati dengan ketat dan penuh harapan.

Tiga empat hari ini memang penuh dengan adegan suspens. Yang terjadi sudah terjadi. Tinggal sejarah. Hidup dan kehidupan mesti diteruskan.

Yang menang tidak perlu berlebihan untuk meraikannya. Tiada masa untuk itu pun. Yang kalah perlu bangkit menawan semula hati rakyat. Muhasabah diri. Tiada yang menang semua dan tiada yang kalah semua.

Sebenarnya pihak yang memikul beban lebih sukar ialah pihak yang menang iaitu PH. Mereka ada segudang janji, sebahagiannya sukar ditunaikan kerana melibatkan peruntukan kewangan yang besar.

Selain mengekalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan B40, PH turut menawarkan pendidikan percuma di universiti awam, pelaksanan gaji minimum RM1,500, menghapuskan tol secara berperingkat, sejuta pekerjaan baharu dan mengurangkan dua juta pekerja asing.

Dalam tempoh lima tahun juga, PH menjanjikan reformasi institusi negara, menghapus rasuah, memperkasa perkhidmatan awam serta memacu ekonomi dan daya saing negara.

Janji lain ialah membina Malaysia inklusif, moderat dan gemilang, serta desentralisasi kuasa Sabah dan Sarawak.

Sebab itu, dalam waktu PH mempunyai ruang sepenuhnya tanpa gangguan, penangguhan pengumuman barisan Kabinet boleh menimbulkan keraguan rakyat. Ini tidak sepatutnya berlaku.

Penangguhan pelantikan barisan Kabinet selain tiga jawatan untuk ketua-ketua parti diumumkan oleh Dr. Mahathir semalam hanya menggambarkan tiadanya keserasian dalam PH. Ini membayangkan masing-masing rupa-rupanya tergiur dengan jawatan menteri.

Rakyat sangat mengharapkan peralihan dan seterusnya pembentukan sebuah kerajaan yang bukan sahaja amanah tetapi juga cekap. Amanah tanpa kecekapan tidak mencukupi untuk membawa Malaysia maju.

Dan, yang perlu menjadi keutamaan kerajaan baharu ini ialah mengurangkan kos sara hidup. Berjanji untuk membersihkan kerajaan atau kementerian sahaja tidak mencukupi bahkan tersangat klise.

Rakyat perlu diyakinkan hidup mereka akan lebih baik berbanding di bawah BN dahulu. Keyakinan itu belum benar-benar muncul. Cuma, berilah mereka peluang sehingga tiba waktunya nanti.