26 Mar 2018

Inflasi turun semenjak GST dilaksana

0 Comment

23 MAC: Sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kadar inflasi negara susut kepada 1.4 peratus pada dua bulan pertama tahun ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam sejarah ekonomi negara kita, kadar inflasi mencapai tahap tertinggi pada tahun 1998 dan 2008, iaitu sebelum GST diperkenalkan.

“Umpamanya pada Julai 2008, inflasi kita mencecah 8.4 peratus dan sejak GST diperkenalkan, kadar inflasi dicatatkan pada tahap 2.1 peratus (2015), 2.1 peratus (2016) serta 3.7 peratus pada 2017.

“Pada bulan Februari lalu, kadar inflasi jatuh kepada 1.4 peratus,” katanya dalam sesi dialog Laporan Transformasi Negara 2017, di ibu kota, Jumaat.

Justeru katanya, kenaikan harga barang bukanlah berpunca daripada pelaksanaan GST semata-mata.

Sebaliknya, Najib berkata kerajaan memilih kaedah yang terbaik dalam melaksanakannya seperti mengecualikan sebanyak 578 jenis barang daripada dikenakan cukai tersebut.

“Sebenarnya kenaikan harga barang ini bukan boleh diperkatakan semata-mata kerana GST. Sebab bila kita laksana GST, kita pilih jalan ‘soft landing’ (perlambatan ekonomi).

“Sebab itu barangan asas seperti beras, ayam, telur, ikan, daging, sayur, roti, minyak masak, buah, RON95, buku, kesihatan, ubat dan sebagainya. 578 barangan samada ‘zero rate’ atau dikecualikan dan kadar kita hanya 6 peratus.

Justeru itu katanya, pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu sebenarnya tidak berasaskan kepada fakta yang benar.

Tegas perdana menteri, kerajaan menyedari keputusan untuk melaksanakan cukai GST ini bukanlah keputusan yang popular dan mempunyai ‘political cost’ (kesan politik).

“Namun begitu, kerajaan sanggup untuk menghadapi kesan tersebut kerana percaya ia adalah perkara yang sepatutnya dilakukan dan akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat dan negara ini untuk jangka masa panjang,” kata Najib.

[top]