Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di Bangunan Perdana Putra di sini pada pukul 10 pagi sebelum menandatangani surat memulakan tugas se­terusnya menghadiri taklimat khas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Menteri Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memulakan tugas secara rasmi pagi ini.

Beliau yang juga satu-satunya menteri Kabinet baharu yang pernah berkhidmat dengan tiga Perda­na Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Ba­dawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini, tiba di Ibu pe­ja­bat KDN di sini pada pukul 9 pagi dan disambut oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau memulakan jadual hari pertama bertugas dengan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan dan agensi seliaan KDN.

Selain itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang masih terpalit dengan kes rasuah melibatkan pem­be­lian banglo di bawah nilai pasaran juga memulakan tugas beliau secara rasmi hari ini.

Beliau yang akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan tersebut turut menga­da­kan sidang akhbar pertamanya se­bagai Menteri Kewangan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang pelantikan beliau mendapat tentangan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) liberal juga memulakan tugas beliau secara rasmi.

Malah, bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh turut hadir bagi menyerahkan tugas kepada Maszlee yang menjadi popular dalam kalangan netizen sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Se­­ri Mohamed Azmin Ali juga me­mu­lakan tugas beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi secara rasmi.

Dalam sidang akhbar pertama be­liau, Mohamed Azmin memberi­tahu kementerian itu akan membuat semakan semula terhadap se­mua projek mega yang dilaksanakan kerajaan terdahulu bagi melihat ketelusan termasuk dalam aspek perolehan dan tender.

Selain itu, beberapa menteri Ka­binet baharu turut memulakan tu­gas mereka secara rasmi hari ini terma­suk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun; Men­teri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dijangka memulakan tugas beliau secara rasmi esok.